KUCHING: Tiga perkara perlu diberi perhatian sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kelak.
Malah ia adalah berdasarkan keputusan penilaian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, perkara pertama ialah mengambil kira keadaan situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini amnya.
Manakala kedua katanya, SPR perlu memuktamadkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengadakan PRN Ke-12 dan ketiga kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengutamakan keselamatan serta kesihatan rakyat daripada ancaman COVID-19.
“Ada tiga perkara yang perlu dipertimbangkan antaranya situasi kes COVID-19 yang berlaku sama ada kes beransur pulih atau sebaliknya.
“Kedua, sama ada SPR telah memuktamadkan SOP untuk mengadakan pilihan raya dan yang ketiga adalah kerajaan GPS mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), di Kuching pada Selasa.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menambah bahawa kerajaan GPS di bawah kepimpinannya memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk memastikan kesinambungan pembangunan pada masa depan. –EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS